DomestikSemasa

Ahmad Fahmi kekal menerajui ABIM bagi penggal 2025-2027

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin kekal memegang teraju ABIM untuk penggal kedua selepas dipilih semula melalui Muktamar Belia Islam ke-54 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue. Pengesahan itu dibuat oleh Setiausaha Agung ABIM Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri yang menyifatkan pelantikan semula itu sebagai kesinambungan penting bagi memperkukuhkan hala tuju organisasi belia Islam tersebut.

Muktamar itu turut menyaksikan beberapa perubahan strategik dalam barisan kepimpinan. Mohamad Saifuddin Abdul Latiff yang sebelum ini mengetuai ABIM Perak dilantik sebagai Timbalan Presiden, menggantikan Dr Mohd Faridh Hafez Mhd Omar. Lima jawatan Naib Presiden pula diamanahkan kepada Muhammad Aliemran Norasid, Dr Fatin Nur Majdina Nordin, Adli Zakuan Zairakithnaini, Dr Mohamad Haeqal Ishak dan Salman Mohd Yusop.

Jawatan Penolong Setiausaha Agung disandang oleh Muhammad Dzul Aiman Zulkefly manakala tanggungjawab sebagai Setiausaha Kewangan diberikan kepada Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim. ABIM menyifatkan barisan kepimpinan baharu ini sebagai pelengkap kepada agenda pembaharuan organisasi dalam menghadapi landskap sosial dan keagamaan yang semakin mencabar, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ahmad Fawwaz menegaskan bahawa muktamar kali ini menjadi titik perubahan strategik untuk mengukuhkan peranan ABIM sebagai wadah kepimpinan belia Islam dalam era Gen Z dan realiti dunia pascanormal. Beliau menambah bahawa pengukuhan kepimpinan ini penting untuk memastikan ABIM terus relevan sebagai gerakan dakwah, pendidikan dan advokasi sosial di Malaysia.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button