
Jerman mengumumkan penghentian semua eksport peralatan ketenteraan ke Israel yang berpotensi digunakan di Gaza sehingga diberitahu kelak, susulan keputusan kerajaan Israel untuk mengambil alih Kota Gaza.
Canselor Friedrich Merz berkata keputusan itu dibuat berikutan tindakan ketenteraan lebih agresif yang diluluskan Kabinet Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada malam 7 Ogos.
“Israel mempunyai hak mempertahankan diri daripada keganasan Hamas dan pembebasan tebusan adalah keutamaan kami. Namun, langkah baharu Israel di Gaza menyukarkan Jerman melihat bagaimana matlamat ini boleh dicapai,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Merz menegaskan Hamas tidak sepatutnya memainkan peranan dalam masa depan Gaza, namun menolak eskalasi serangan yang boleh memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di wilayah itu.
Netanyahu dilaporkan menghubungi Merz selepas pengumuman tersebut, menyatakan kekecewaan dan menuduh Jerman “memberi ganjaran kepada Hamas” serta gagal menyokong “perang adil” Israel.
Jerman, bersama Amerika Syarikat dan Itali, merupakan antara pembekal utama peralatan ketenteraan kepada Israel. Data rasmi menunjukkan Berlin telah meluluskan eksport senjata bernilai kira-kira AS$565 juta (RM2.5 bilion) kepada Israel antara 7 Oktober 2023 hingga 13 Mei 2024.