
Sekurang-kurangnya 411 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh manakala 1,112 lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza. Pejabat itu menyatakan pihaknya telah mendokumentasikan sebanyak 875 pelanggaran gencatan senjata yang dilakukan Israel dalam tempoh berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pelanggaran tersebut merangkumi 265 insiden tembakan langsung ke arah orang awam, 49 pencerobohan tentera ke kawasan perumahan, 421 serangan bedilan, serta 150 kes perobohan rumah. Pejabat media menegaskan bahawa tindakan ini menunjukkan kegagalan Israel mematuhi kewajipan kemanusiaan yang termaktub dalam perjanjian gencatan senjata.
Kenyataan itu turut mendedahkan sekatan berterusan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, dengan hanya 17,819 trak bantuan dibenarkan masuk daripada 42,800 penghantaran yang dipersetujui. Jumlah tersebut bersamaan purata 244 trak sehari, jauh lebih rendah berbanding 600 trak harian yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan kadar pematuhan sekitar 41 peratus sahaja.
Keadaan lebih kritikal melibatkan bekalan bahan api apabila hanya 394 trak dibenarkan masuk daripada 3,650 yang dipersetujui, bersamaan purata lima trak sehari berbanding 50 trak seperti yang dipersetujui. Pejabat media memberi amaran bahawa kekurangan bahan api telah menyebabkan hospital, kedai roti serta kemudahan air dan kumbahan hampir lumpuh sepenuhnya, sekali gus memburukkan penderitaan orang awam.
Pejabat Media Kerajaan Gaza menyifatkan situasi itu sebagai krisis kemanusiaan yang mendalam dan belum pernah berlaku sebelum ini, sambil mendakwa Israel terus enggan membuka lintasan dan menghalang kemasukan khemah, rumah mudah alih, karavan serta bahan perlindungan lain. Sekatan tersebut, menurut kenyataan itu, merupakan pelanggaran jelas terhadap perjanjian dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, pejabat itu memaklumkan bahawa dasar sekatan yang berterusan telah menyumbang kepada keruntuhan 46 bangunan yang rosak ketika ribut musim sejuk baru-baru ini, mengakibatkan kematian 15 rakyat Palestin. Pejabat tersebut menggesa pengantara dan masyarakat antarabangsa memastikan aliran bantuan kemanusiaan dan bahan api yang segera serta selamat, selain membenarkan kemasukan bahan perlindungan seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian gencatan senjata, bagi mengelakkan bencana kemanusiaan di Gaza daripada terus memburuk.
Sumber: TRT World dan agensi berita antarabangsa







