KerohanianPendidikanSemasa

Tinggal solat Jumaat dengan sengaja? Apa hukumnya?

Solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib hukumnya ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf serta salah satu daripada syiar agama Islam.

Namun, ada segelintir dari golongan ini mengambil ringan tentang kepentingan melaksanakan kewajipan tersebut, dan sengaja meninggalkannnya kerana gagal melawan sifat malas atau terlalu mementingkan urusan dunia.

Jadi, apa hukum seseorang meninggalkan Jumaat tanpa sebarang sebab, dengan anggapan hanya sekali-sekala sahaja?

Menurut penjelasan dari portal Maktabah Al-Bakri, diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya.

Begitu juga, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat secara sengaja dan mengambil mudah tentang kewajipannya dengan Allah SWT akan mengunci mati hatinya. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil ringan akannya, nescaya Allah SWT akan mengunci mati hatinya.

Kesimpulannya di sini, hukum meninggalkan solat Jumaat adalah haram jika tanpa uzur syarie kerana hukum menunaikannya ialah fardhu ain, melainkan kepada perempuan dan kanak-kanak.

Disebut dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, bahawa telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ berkenaan kewajipan solat Jumaat ke atas orang lelaki, muslim, baligh, yang bermukim di sesuatu tempat dan tiada keuzuran baginya yang membolehkan dia meninggalkan solat Jumaat secara berjemaah.

Antara dalil wajib solat daripada hadith pula ialah, daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button