DomestikSemasa

TLDM selamatkan dua nelayan Indonesia hanyut di perairan Pulau Jarak

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan dua nelayan warga Indonesia selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin dan hanyut di laut berhampiran Pulau Jarak, Selat Melaka, dekat Lumut.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, bot nelayan yang berasal dari Belawan, Indonesia itu telah hanyut sejak 28 November lalu ketika keluar menangkap ikan. KD Kinabalu, yang sedang melaksanakan rondaan operasi di sekitar perairan Pulau Jarak, mengesan bot berkenaan terapung dan mendapati ia dikemudi oleh kedua-dua nelayan tersebut.

“Bantuan teknikal telah diberikan untuk membaiki enjin, namun tidak berhasil kerana kerosakan yang serius dan memerlukan alat ganti. Atas dasar kemanusiaan, bantuan logistik, makanan dan pemeriksaan perubatan awal telah disediakan dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua nelayan berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button