Tokoh Ulama Perak, Tuan Guru Syeikh Ismail Alang kembali ke rahmatullah

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن.
Seorang ulama di Kuala Kangsar, Perak iaitu Tuan Guru Syeikh Ismail Alang Muhammad Al-Kholidi telah kembali ke rahmatullah pada usia 97 tahun, Selasa (8 Mac).
Berita duka ini dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa menerusi laman Facebook rasminya.
Bercerita mengenai latar belakang Tuan Guru, beliau yang dilahirkan pada tahun 1925 telah mendapat pendidikan awal ilmu agama daripada datuknya sendiri iaitu Mufti Haji Ismail Hamzah.
Seawal usia 19 tahun, beliau mula bersuluk (mengasingan diri / tafakur) dengan Syeikh Abdul Rahman al-Kholidi Gunung Panjang (Mursyid Tareqat Nasyabandi yang ke 36) selama 40 hari sehingga beliau dilantik menggantikan mursyidnya pada hari yang keempat suluk sambil disaksikan beberapa khalifah, antaranya Syeikh Fakeh Osman, Syeikh Haji Bidin dan Syeikh Abdul Rahman sendiri.
Beliau juga dikatakan giat mempelajari ilmu agama ketika di usia muda yang berguru dengan para alim ulama terkenal seperti Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Fakeh Osman dan Mufti Haji Sya’ya dan ramai lagi.
Allahyarham juga merupakan anak saudara kepada seorang ulama besar Nusantara yang masyhur iaitu Allamah Syeikh Idris Al-Marbawi, pengarang Kamus Al-Marbawi yang harum terkenal di dunia.
Pernah menjadi anak murid Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada bekas PM Tun Hj Abdullah Ahmad Badawi) dan mengambil baiah Naqsyabandiah daripada Syeikh Abdul Rahman Al-Kholidi Gunung Panjang serta Syeikh Haji Bidin (menantu Allamah Syeikh Abdul Wahab Rokan – Auliya min Auliyaa’Illahi Solihin).
Bagi menyampaikan ilmu agama, Tuan Guru telah mengasaskan beberapa buah institusi pengajian agama di sekitar Perak khusus untuk kelas fardhu ain beserta pengesahan amalan iaitu mengenal martabat nafsu di dalam diri bermula dengan amalan syahadat.
Antara sekolah pondok yang beliau dirikan adalah sekolah agama rakyat di Kampung Jamuan, Kuala Kangsar pada tahun 1947, Pondok Riadah Solihin pada tahun 1986 dan Pondok Riadah Solihin Kampung Tiong, Kati pada 2012.
Almarhum juga merupakan guru mursyid Tarekat Naqsyabandiah Kholidiah di Perak dan mempunyai murid yang sangat ramai.
Diantara para alim ulama yang pernah mengambil Baiah Syahadah dan tarekat Naqsyabandiah melaluinya adalah;
- Tn Guru Syeikh Mat Saman Kati
- Syeikh Haji Ibrahim Kampar
- Pakteh Hj Abdul Latiff Gerik
- Tan Sri Dato Dr Harussani Zakaria (bekas mufti Perak)
- Dato Seri Utama DiRaja Hj Ghazali bin Hj Abdullah (bekas mufti Selangor)
- Dato Dr Mohd Yusuf (bekas mufti Wilayah)
- Syeikh Abdul Ghani (bekas pengarah UKM Bangi)
dan ramai lagi…
Semoga roh Allahyarham Tuan Guru Syeikh Ismail Alang dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.