
UMNO menyokong sepenuhnya keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengadakan inkues penuh bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir, termasuk sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata pihaknya berharap proses inkues itu dijalankan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang, demi mendapatkan keadilan tuntas bagi Allahyarham Zara Qairina.
Asyraf Wajdi menyatakan pendirian tersebut selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“UMNO amat dukacita dan terhiris dengan kematian Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai akibat buli. Pengendalian kes ini yang dilihat lemah dan tidak mematuhi prosedur serta SOP biasa seperti perakuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan,” katanya.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa prosiding inkues akan dijalankan berikutan laporan siasatan PDRM. Inkues ini selaras dengan Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, pula berkata siasatan kini akan menumpukan kepada elemen jenayah, termasuk kesalahan buli. Pasukan khas yang membabitkan sembilan pegawai dan anggota dihantar ke Sabah pada 11 Ogos untuk menyiasat kes tersebut.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama di Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 16 Julai pukul 4 pagi.
— BERNAMA