
Ganjaran lumayan berupa tajaan ibadah umrah menanti mana-mana peserta yang berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan WorldSkills Competition (WSC) 2026 di Shanghai, China, yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 27 September ini.
Insentif istimewa itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Menurut beliau, ganjaran untuk peserta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana peribadi beliau sendiri sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka.
Lebih menarik, tajaan tersebut bukan sahaja diberikan kepada pemenang pingat emas, malah turut merangkumi kedua-dua ibu bapa mereka.
“Siapa dapat pingat emas di WorldSkills ini, bukan saja peserta yang dapat pingat emas itu saya hadiahkan untuk pergi umrah, ibu dan bapa pun saya bawa pergi umrah.
“Ini janji saya. Jika sembilan dapat pingat emas, sembilan-sembilan saya bawa pergi umrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills 2026 di ibu negara pada Isnin. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Sembilan Peserta Galas Cabaran Negara
Kontinjen TVET@KKDW kali ini diwakili oleh sembilan peserta berbakat yang akan menggalas cabaran negara dalam sembilan bidang kemahiran yang berbeza.
Senarai penuh wakil negara ke WSC Shanghai 2026 adalah seperti berikut:
-
Nadratulliyana Ab Malek (Teknologi Fesyen)
-
Haziq Syahmi Nazri (Pengecatan Automotif)
-
Amirul Sharif Sharifudin (Elektronik)
-
Mohammad Ezaly Iman Ramli (Keselamatan Siber)
-
Wan Hamiz Ozai Wan Hamidzi (Teknologi Kenderaan Rel)
-
Khairul Idham Bahari (Pembuatan Kabinet)
-
Muhamad Nashrul Zulkifli (Pembinaan Digital)
-
Muhammad Haziq Lailla Zamri (Pemasangan Elektrik)
-
Muhammad Huzairy Mohamad Thes (Kejuruteraan Mekanikal CAD)
Pertandingan WorldSkills merupakan platform penanda aras global yang mengiktiraf kecemerlangan kemahiran teknikal dan vokasional dalam kalangan belia dari seluruh dunia.
Sumber Berita: BERNAMA






