165 militan Houthi dibunuh
Yaman: Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong pemerintah Yaman mengatakan telah membunuh sekurang-kurangnya 165 pemberontak Houthi dalam serangan di selatan Marib dalam 24 jam lepas.
Gabungan itu mengatakan, serangan pada hari Ahad, memusnahkan 10 kenderaan tentera dan membunuh lebih daripada 165 pemberontak di wilayah Abdiya.
Houthi memulakan serangan besar-besaran bagi merebut Marib, kubu terakhir pemerintah yang diakui antarabangsa di Yaman utara yang kaya dengan minyak, pada bulan Februari, dan telah memperbaharui serangan mereka dalam beberapa minggu terakhir ini.
Houthi, melalui ciapan di Twitter pada hari Ahad memberitahu mereka telah menguasai beberapa kawasan di sekitar Marib, termasuk Abdiya, yang terletak kira-kira 60 batu di selatan bandar.
Konflik di Yaman meletus pada September 2014 ketika Houthi merampas ibu kota, Sanaa, 75 batu di sebelah barat Marib, mencetuskan perang saudara yang memaksa Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi untuk berlindung di Aden dan kemudiannya di Arab Saudi.
Menurut Projek Data Yaman kerajaan dan sekutu serantau, termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, campur tangan yang berlaku sejak bulan Mac 2015, lebih dari 22,000 serangan udara dilancarkan dalam usaha menghalang Houthi dengan sasaran sekolah, kilang dan hospital.
Puluhan ribu orang telah mati dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tingga dalam apa yang disebut oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
PBB minggu ini meminta pertempuran di Abdiya dihentikan, di mana ia mengatakan bahawa pergerakan bantuan kepada puluhan ribu orang adalah sangat sukar.
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM