Israel berkata 24 askarnya terbunuh yang menjadi korban terbesar dalam sehari sejak permulaan perang darat di Gaza, di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat terhadap kerajaan untuk mencari jalan menamatkan konflik.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada hari Selasa berikrar bahawa Israel tidak akan berhenti berperang di Gaza sehingga memperoleh “kemenangan mutlak”.
Pertempuran sengit telah berlaku di selatan dan tengah Gaza, di mana Israel berkata ia telah menyerang kubu kuat Hamas yang masih tinggal dan cuba membersihkan kawasan berhampiran sempadan.
Di salah satu kawasan sempadan itulah 21 askar maut apabila sebuah bangunan runtuh akibat letupan.
Netanyahu mengakui bahawa Israel telah mengalami salah satu hari paling sukar dalam peperangan.
Menteri Pertahanan Yoav Gallant berkata hatinya tertuju kepada keluarga mereka yang terbunuh pada “pagi yang sukar dan menyakitkan ini”, tetapi Israel tidak akan berundur.
“Peperangan ini akan menentukan masa depan Israel untuk beberapa dekad akan datang – kematian tentera diperlukan untuk mencapai matlamat perang,” katanya.
Tentera berkata kejadian itu bermula apabila roket dilepaskan ke arah kereta kebal yang mengawal tentera yang beroperasi di dalam Gaza, 600 meter dari pagar sempadan dengan Israel.
Pada masa yang sama, letupan berlaku di dua bangunan dua tingkat di mana mereka telah menanam bahan letupan bagi merobohkannya.
“Kami masih meneliti dan menyiasat butiran kejadian dan punca letupan,” kata jurucakap tentera Laksamana Muda Daniel Hagari.
Berita mengenai kejadian semalaman mendominasi liputan media Israel sepanjang pagi.
Sekurang-kurangnya 25,295 rakyat Palestin di Gaza telah terbunuh dalam pengeboman dan pencerobohan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI