
Oleh : Alaa Madeng
Seramai 20 rakyat Palestin terkorban dan puluhan lagi cedera selepas sebuah trak bantuan terbalik ke atas sekumpulan penduduk yang kelaparan di tengah Semenanjung Gaza, menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza hari ini.
Insiden tragik itu berlaku apabila trak berkenaan dipaksa oleh tentera penjajah Israel untuk melalui laluan yang tidak selamat, menurut pejabat media tersebut. “Tentera pendudukan Israel secara sengaja mendorong orang awam ke laluan maut dan bahaya,” katanya.
Sehari sebelum kejadian ini, seramai 81 rakyat Palestin syahid akibat serangan tentera Israel, termasuk 57 daripada mereka yang sedang menunggu bantuan makanan.
Kebuluran yang melanda Gaza akibat sekatan Israel dan perang pembunuhan beramai-ramai telah memaksa ribuan penduduk untuk beratur setiap hari menunggu bantuan, menjadikan mereka sasaran mudah kepada serangan dan tragedi.
Beberapa mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan dan di atas jalan, namun pasukan perubatan dan penyelamat tidak dapat mencapainya kerana serangan berterusan dan kekangan keselamatan.
Menurut laporan tempatan dan antarabangsa, situasi kebuluran di Gaza kini telah mencapai tahap paling kritikal dalam sejarah moden, dengan angka kematian akibat kekurangan zat dan dehidrasi meningkat secara mendadak. Setakat ini, seramai 189 rakyat Palestin telah meninggal dunia akibat kelaparan, termasuk 95 kanak-kanak, menurut sumber perubatan di Gaza.
Sejak Oktober 2023, tentera penjajah Israel dengan sokongan Amerika Syarikat telah melancarkan perang pembunuhan terhadap rakyat Gaza. Serangan ini telah meragut nyawa lebih 61,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 150,000 dan menyebabkan hampir seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal. Kehancuran yang berlaku disifatkan sebagai paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua, berdasarkan laporan badan-badan pemantau tempatan dan antarabangsa.