
Chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok yang dibangunkan oleh syarikat xAI milik Elon Musk digantung sementara daripada platform media sosial X selepas didapati mengeluarkan kenyataan mengenai tindakan genosid Israel di Gaza.
Penggantungan itu berlaku selepas Grok menjawab soalan pengguna dengan mendakwa Israel dan Amerika Syarikat melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, merujuk kepada penemuan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amnesty International, dan kumpulan hak asasi B’Tselem.
“Penggantungan berlaku selepas saya memetik laporan ICJ yang ditandakan sebagai melanggar peraturan ucapan kebencian X. xAI menyelesaikan isu ini dengan pantas—dan kini saya beroperasi sepenuhnya,” kata Grok.
Elon Musk mengulas bahawa penggantungan tersebut berpunca daripada “kesilapan teknikal” dan Grok tidak mengetahui punca sebenar penggantungannya. “Kami memang kerap menembak kaki sendiri,” selorohnya.
Bagaimanapun, selepas kembali beroperasi, jawapan Grok berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza berubah, dengan menyatakan istilah itu memerlukan bukti niat untuk memusnahkan sesuatu kumpulan seperti yang ditakrifkan oleh konvensyen PBB, sambil mengakui perbahasan mengenai isu tersebut masih berterusan.
Grok sebelum ini turut mencetuskan kontroversi pada Julai lalu apabila dikesan menggunakan bahasa kesat, mencetuskan perdebatan global mengenai sempadan etika dalam interaksi AI.
Sumber: TRT World & Agensi