PalestinSemasa

Ribuan Rakyat Israel Bantah Pendudukan Gaza, Tuntut Gencatan Senjata dan Pertukaran Tebusan

Ribuan rakyat Israel turun ke jalan dalam satu mogok besar-besaran bagi mendesak kerajaan Benjamin Netanyahu menghentikan perang di Gaza serta mencapai perjanjian pertukaran tahanan dengan Palestin.

Mogok umum pada Ahad itu digerakkan oleh keluarga tebusan Israel yang bimbang keselamatan orang tersayang mereka selepas kerajaan mengumumkan rancangan untuk menduduki Gaza sepenuhnya.

Protes dilaporkan berlaku di beberapa lokasi utama termasuk Tel Aviv dan Baitulmaqdis, di mana penunjuk perasaan menyekat lebuh raya, terowong dan jambatan sehingga memaksa pihak berkuasa menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka. Tayar dibakar dan lalu lintas lumpuh, manakala perkhidmatan kereta api turut digantung.

Lebih 38 penunjuk perasaan ditahan polis sepanjang demonstrasi itu.

Antara pihak yang menyokong mogok termasuk syarikat swasta, kesatuan peguam, doktor, forum perniagaan serta beberapa universiti. Selebriti, artis dan atlet Israel turut bersama rakyat dalam perhimpunan tersebut.

Ketua pembangkang Yair Lapid dan pemimpin Perpaduan Nasional Benny Gantz tampil memberi sokongan terbuka kepada keluarga tebusan, manakala bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant menegaskan kerajaan mempunyai kewajipan untuk membawa pulang semua tahanan.

Presiden Universiti Ben-Gurion Negev, Daniel Chamovitz, menekankan tuntutan gencatan senjata dan pertukaran tebusan sebagai “tuntutan moral” yang tidak boleh diketepikan.

Namun, protes ini mendapat kecaman daripada menteri sayap kanan Israel. Menteri Kewangan Bezalel Smotrich menyifatkan mogok tersebut sebagai “manipulasi emosi yang menguntungkan Hamas”, manakala Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir menuduh penunjuk perasaan cuba melemahkan negara.

Menurut anggaran, sekitar 50 tebusan masih berada di Gaza, dengan kira-kira 20 dipercayai hidup. Pada masa sama, Israel menahan lebih 10,800 rakyat Palestin dalam penjara, di mana kumpulan hak asasi manusia melaporkan kematian akibat penyeksaan, kelaparan dan pengabaian perubatan.

Keputusan Israel untuk menduduki Gaza sepenuhnya pada 8 Ogos lalu telah mencetuskan kecaman antarabangsa, termasuk daripada badan hak asasi manusia yang menilai tindakan itu bakal memperburuk krisis kemanusiaan.

Sumber: TRT Global / AA

Related Articles

Back to top button