EkonomiSemasa

Pameran Pengembaraan AirAsia 2025 Dijangka Tarik 15,000 Pengunjung

Pameran Pengembaraan AirAsia (AATF) 2025 dijangka menarik sekitar 15,000 pengunjung, meningkat sebanyak 5,000 berbanding edisi terakhir sebelum pandemik pada 2019, selaras dengan usaha syarikat penerbangan itu untuk mengembalikan siri pameran tersebut dengan skala terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Amanda Woo, berkata syarikat itu turut merancang untuk memperluaskan penganjuran pameran pengembaraan di beberapa negara termasuk Filipina, Vietnam, Indonesia, Kazakhstan dan Uzbekistan, sebagai sokongan kepada Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

“Bagi edisi tahun ini yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos di Pavilion Bukit Jalil, sebanyak 213 ruang pameran disediakan dengan kira-kira 1,000 pakej pengembaraan ditawarkan oleh ejen tempatan terkemuka. Kami yakin pameran ini mampu meningkatkan jualan berbanding sebelum ini, dengan jualan tiket harian pernah mencecah sehingga 10,000,” katanya pada majlis pelancaran AATF 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pameran berkenaan merupakan platform kerjasama industri pelancongan yang menghimpunkan syarikat penerbangan, hotel, agensi pengembaraan, lembaga pelancongan serta rakan industri di bawah satu bumbung.

“Antara syarikat penerbangan antarabangsa yang sudah menyertai termasuk Air Arabia dan Emirates. Tahun depan kami harap lebih ramai penyertaan, kerana AirAsia kini bergerak sebagai syarikat pengembaraan dan bukan lagi sekadar syarikat penerbangan,” tambahnya.

Menurut Woo, pameran kali ini juga memberi tumpuan kepada laluan baharu di luar Asia, seiring dengan sasaran TMM 2026. Permintaan kukuh dilihat dari Asia Tengah khususnya Kazakhstan, Uzbekistan dan Istanbul, dengan Malaysia semakin dilihat sebagai hab utama untuk pengembara meneroka rantau Asia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, menyifatkan penganjuran pameran ini sebagai langkah proaktif AirAsia dalam mempromosikan pelancongan tempatan dan antarabangsa.

“Kami menyasarkan ketibaan 43 juta pelancong pada 2025. Sehingga Jun 2025, lebih 25 juta ketibaan pelancong direkodkan. Dengan inisiatif seperti ini, kami yakin sasaran 43 juta dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata pameran tersebut juga menampilkan destinasi utama pasaran Malaysia, termasuk ASEAN, negara berpantai, serta peningkatan lebih 30 peratus ketibaan pelancong dari China dan India sejak pelaksanaan dasar bebas visa.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button