
Semua penyedia platform media sosial yang beroperasi di Malaysia disaran melaksanakan proses pengesahan identiti elektronik Know-Your-Customer (eKYC) menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan sistem identiti elektronik itu penting bagi memastikan pengguna disahkan sepenuhnya sekali gus mengurangkan risiko penipuan dalam talian serta menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun daripada membuka akaun media sosial.
“Buat masa ini kita hanya menyarankan, namun apabila Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) mula berkuat kuasa hujung tahun ini atau awal tahun depan, ia akan menjadi kewajipan.
“Kebanyakan platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, TikTok dan lain-lain masih tidak mempunyai sistem eKYC yang benar-benar berkesan. Justeru, kita telah minta mereka melaksanakan eKYC dengan menggunakan dokumen rasmi dikeluarkan kerajaan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi menegaskan kerajaan komited melindungi rakyat daripada jenayah siber termasuk penipuan pelaburan tidak wujud, perjudian dalam talian serta penjualan barangan larangan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyelaras satu pertemuan bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan Kementerian Kewangan dengan pihak Meta dan TikTok di Singapura dalam tempoh dua minggu.
“Antara isu yang akan dibincangkan ialah penjualan barangan larangan seperti cecair vape mengandungi dadah di platform Meta seperti Facebook, serta cadangan pengesahan eKYC menggunakan dokumen rasmi kerajaan,” katanya.
— BERNAMA