
Industri perfileman tempatan terus menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 59 filem ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang tahun ini, dengan 13 daripadanya mencapai kutipan pecah panggung berjumlah RM164.02 juta setakat 26 Oktober.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pada 2024, sebanyak 58 filem diterbitkan dengan kutipan keseluruhan RM117.19 juta, manakala pada 2023 sebanyak 62 filem mencatatkan kutipan RM102.66 juta.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menilai keperluan mewujudkan Dana Penerbitan Bersama khas bagi format televisyen bagi memperkukuh sokongan terhadap kandungan tempatan.
“Ia juga bertujuan meneroka potensi pasaran ASEAN yang semakin berkembang selain menggalakkan penerbitan bersama antara negara anggota ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jury Latiff Rosli serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Teo menegaskan bahawa kerjasama serantau dalam bidang kreatif amat penting bagi berkongsi pasaran, bakat dan teknologi agar tiada negara ketinggalan dalam pembangunan industri.
“Apabila kita bergerak bersama, label ‘Dihasilkan di ASEAN’ boleh menjadi lambang kebanggaan dan kecemerlangan kreatif yang diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 149 projek diluluskan di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), terdiri daripada 56 produksi antarabangsa dan 93 produksi tempatan. Kerajaan turut menyalurkan lebih RM189.9 juta dalam bentuk rebat yang berjaya menarik pelaburan langsung bernilai RM1.05 bilion serta mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan.
Bagi Belanjawan 2025, sejumlah RM40 juta diperuntukkan kepada FIMI, dengan RM39.28 juta daripadanya disalurkan bagi menyokong 32 projek yang telah diluluskan, sekali gus menjana 2,766 peluang pekerjaan setakat September 2025.
Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 Siri 2 yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan lebih 300 peserta daripada 10 negara ASEAN. Program ini menampilkan pelbagai sesi perbincangan, bengkel filem dan jaringan profesional yang menumpukan kepada penerbitan bersama, kebebasan kreatif dan impak penceritaan digital di rantau ini.
Sumber: Bernama
 
  
  
  
 






