
Kapal-kapal dagang terus bergerak melalui Selat Hormuz, laluan perairan strategik di Asia Barat, walaupun pasukan tentera laut Amerika Syarikat (AS) telah melaksanakan sekatan maritim terhadap Iran, menurut data terbaharu.
Trafik kapal berterusan direkodkan sejak operasi sekatan bermula pada jam 5.30 petang Isnin waktu Iran, berdasarkan statistik daripada sumber Anadolu Ajansi.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 14 buah kapal didapati memasuki Teluk, manakala tujuh buah kapal keluar dari selat. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 21 buah kapal melalui selat berkenaan, dengan 13 buah kapal lagi dikesan masih berada di kawasan itu setakat jam 1300 GMT pada hari Selasa.
Walau bagaimanapun, ribuan kapal dilaporkan terkandas akibat operasi tersebut. Kira-kira 2,000 buah kapal terkandas di bahagian Teluk, manakala sekitar 400 buah kapal sedang menunggu giliran untuk memasuki Teluk melalui Selat Hormuz.
Laporan daripada Anadolu Ajansi menyebut pasukan tentera laut AS telah mewujudkan garis sekatan di sepanjang garisan antara Teluk Gwadar dan Ras al Hadd, di mana trafik kapal yang padat berterusan sejak operasi bermula.
Data daripada portal MarineTraffic pula mendedahkan beberapa kapal yang tersenarai dalam sekatan AS didapati turut melalui selat tersebut.
Dalam usaha untuk menyembunyikan identiti mereka, portal TankerTrackers.com melaporkan beberapa kapal dikesan menyiarkan isyarat Sistem Pengenalan Automatik (AIS) palsu bagi mengelak pengesanan sekatan.
– Bernama






