EkonomiSemasa

Penyasaran Subsidi: Kerajaan Teliti Dakwaan Pengusaha Stesen Minyak Tanggung Kerugian

Kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut dan mengadakan rundingan bersama syarikat minyak berhubung dakwaan bahawa sebilangan pengusaha stesen minyak menanggung kerugian sewaktu fasa peralihan pelaksanaan penambahbaikan subsidi bahan api sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pihak kerajaan amat menghargai komitmen serta kerjasama penuh yang diberikan oleh syarikat dan pengusaha stesen minyak dalam menjayakan agenda penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel.

“Merujuk kepada permasalahan yang dibangkitkan, saya akan minta Menteri Cukai dan Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak.

“Setakat ini mereka memberi kerjasama penuh, kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan. Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, Insya-Allah kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai isu pengusaha stesen minyak yang didakwa terpaksa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika tempoh peralihan harga bahan api bersubsidi berkenaan.

Kompleksiti di Sabah dan Sarawak

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan dasar tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa kerajaan memilih untuk tidak tergesa-gesa dalam menaik taraf sistem subsidi diesel. Langkah berhati-hati itu diambil memandangkan situasi geografi serta landskap di Sabah dan Sarawak adalah jauh lebih kompleks berbanding di Semenanjung.

Faktor-faktor kritikal seperti kadar penggunaan diesel yang jauh lebih tinggi, jarak perjalanan yang jauh di kawasan pedalaman, serta bilangan stesen minyak yang agak terhad di kedua-dua negeri berkenaan memerlukan penelitian yang sangat rapi sebelum sebarang dasar baharu diperkenalkan.

200,000 Permohonan Tambahan Kuota BUDI Diesel Diluluskan

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai penambahbaikan program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel). Melalui inisiatif ini, pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip kini dibenarkan untuk memohon kuota subsidi tambahan sebanyak 100 liter. Tambahan ini sekali gus menjadikan jumlah kelayakan keseluruhan bagi setiap pemohon meningkat kepada 300 liter sebulan.

Menurut beliau, setakat semalam, dianggarkan sebanyak 200,000 permohonan kuota tambahan daripada warganegara yang layak telah pun diluluskan oleh pihak kementerian.

(Sumber: BERNAMA)

Related Articles

Back to top button