DomestikSemasa

Warga Emas Maut, Kereta Dirempuh Lori Mengundur Di Setiu

Seorang warga emas dilaporkan maut selepas kenderaan yang dipandunya melanggar sebuah lori yang sedang mengundur dalam satu kejadian di sini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis UDT keluar dari sebuah simpang menuju ke jalan utama. Lori tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang berasal dari Segamat, Johor.

Menurut beliau, pemandu lori berkenaan bertindak mengundur kenderaannya untuk tujuan meletakkan lori tersebut. Walau bagaimanapun, semasa proses mengundur itu dilakukan, sebuah kereta yang dipandu oleh mangsa gagal mengelak lalu melanggar lori berkenaan.

“Pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Zahril Asri menyeru orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut untuk tampil membantu pihak polis.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Inspektor Thaufiq di talian 011-2606 9043, atau dengan hadir terus ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Setiu.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button