Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar untuk terus meluaskan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, sambil mengumumkan rancangan untuk membawa “gelombang imigresen yang sangat besar” ke wilayah berkenaan bertepatan dengan bahang pilihan raya yang semakin bergolak.
Bercakap dalam satu majlis bersama peneroka haram Israel, Netanyahu mengesahkan bahawa kerajaannya telah menubuhkan serta mengesahkan status 104 komuniti dan 160 kawasan ladang peneroka. Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkuasa akan menambah lebih banyak lagi penempatan pada masa akan datang bagi “memenuhi visi Tanah Israel”.
Kenyataan ketegaran Netanyahu itu hadir di tengah-tengah desakan dan kecaman antarabangsa yang semakin meningkat. Minggu lalu, beberapa pemimpin Eropah menyelar pembukaan bidaan projek ‘E1’ oleh Israel bagi membina lebih 1,200 rumah baharu, yang dinilai bakal memecahkan kesinambungan wilayah Tebing Barat serta menghancurkan prospek pembentukan negara Palestin yang merdeka.
Peningkatan pembinaan penempatan haram ini digerakkan oleh pentadbiran berhaluan kanan pimpinan Netanyahu menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober. Sejak menduduki Tebing Barat pada tahun 1967, lebih 500,000 peneroka haram kini mendiami wilayah tersebut bersama kira-kira tiga juta penduduk asal Palestin.
Sumber: AFP / TRT World






