Semasa

Agong, Permaisuri zahir penghargaan kepada Raja Arab Saudi atas sumbangan perubatan

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas sumbangan peralatan perubatan bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud atas sumbangan ini

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook Istana Negara.

Sumbangan dari Raja Arab Saudi itu termasuk sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai 5 juta USD yang tiba di Malaysia menerusi dua buah pesawat Saudia Airlines semalam dan sebuah lagi hari ini.

Sementara itu, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia.

Seri Paduka Baginda berdua turut zahir penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button