DomestikSemasa

Buruh Dipenjara Empat Tahun, Denda RM6,000 Kerana Menculik Dan Curi Kereta

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 terhadap seorang buruh selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menculik seorang lelaki serta mencuri sebuah kereta di Tendong, bulan lepas.

Hakim Zulkpli Abdullah turut memerintahkan tertuduh, Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 Jun.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berkenaan didakwa bersama-sama tiga lagi individu yang masih bebas, menculik mangsa berusia 35 tahun dengan niat untuk mengurungnya secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Tendong di sini pada jam 3.30 petang, 6 Jun.

Pertuduhan bagi kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohamad Syamsul Azroy bersama-sama tiga individu terbabit didakwa mencuri sebuah kereta jenis Volkswagen milik seorang lelaki berusia 25 tahun, iaitu adik kepada mangsa culik, di lokasi, masa, dan tarikh yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang turut membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Urusan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah diculik pada 6 Jun selepas didatangi oleh empat individu termasuk Mohamad Syamsul Azroy. Kumpulan terbabit bertindak mencari adik mangsa disebabkan isu kegagalan membayar hutang.

Mangsa kemudiannya dilarikan ke kawasan sempadan negara dengan menggunakan laluan haram sebelum berjaya diselamatkan oleh pihak polis Thailand pada keesokan harinya.

-Bernama

Related Articles

Back to top button