PalestinSemasa

E4 gesa Israel patuhi undang-undang antarabangsa dan lindungi rakyat Palestin di Tebing Barat

Empat negara Eropah yang dikenali sebagai E4 melibatkan Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom mengeluarkan kenyataan bersama pada Khamis menyeru Israel supaya mematuhi undang-undang antarabangsa serta mengambil langkah segera melindungi penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki. Kenyataan itu hadir ketika keganasan oleh peneroka haram Israel dilaporkan meningkat ke tahap tertinggi dalam hampir dua dekad, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu mengenai kestabilan wilayah.

Kenyataan E4 itu menzahirkan kecaman keras terhadap peningkatan besar-besaran serangan peneroka yang disifatkan sebagai ancaman langsung kepada keselamatan orang awam Palestin. Menteri luar negara terbabit menyatakan mereka amat cemas dengan lonjakan insiden keganasan yang direkodkan, sambil memberi amaran bahawa keadaan semakin meruncing boleh mencetuskan ketegangan serantau yang lebih luas. Mengambil rujukan daripada data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka melaporkan sebanyak 264 serangan peneroka direkodkan pada Oktober, angka bulanan tertinggi sejak pemantauan sistematik bermula pada 2006.

Dalam kenyataan itu, E4 menuntut agar kerajaan Israel memenuhi kewajipan undang-undang antarabangsa dengan memastikan keselamatan penduduk Palestin dan menjamin akauntabiliti terhadap pelaku keganasan. Mereka menegaskan pihak berkuasa Israel perlu bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab serta menghalang serangan baharu dengan menangani punca gejala yang semakin membarah itu.

Empat negara Eropah itu turut mengulangi pendirian lama menolak sebarang bentuk pengilhakan, sama ada sebahagian atau keseluruhan, dan menolak dasar penempatan haram yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Mereka menegaskan sokongan kepada penyelesaian dua negara melalui proses rundingan damai, membayangkan visi dua negara yang hidup berdampingan dalam keamanan, keselamatan dan pengiktirafan bersama.

Dalam mesej yang sama, E4 menekankan bahawa serangan berterusan di Tebing Barat mesti dihentikan serta merta kerana ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan orang awam Palestin, malah melemahkan usaha damai serta akhirnya mengancam keselamatan jangka panjang Israel sendiri.

Sumber: AA

Related Articles

Back to top button