GPMS Sokong Polisi Perlindungan Murid KPM, Cadang Sesi Libat Urus Menyeluruh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong penuh langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkukuh keselamatan dan kebajikan murid menerusi Polisi Perlindungan Murid Sekolah. Walau bagaimanapun, badan berkenaan mencadangkan agar proses libat urus dijalankan secara lebih menyeluruh bersama warga pendidik dan pihak pemegang taruh.
Presiden GPMS, Fazreen Fauzi, menyatakan bahawa sesi penerangan, libat urus, serta perbincangan meja bulat yang melibatkan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan pemegang taruh lain adalah amat penting. Langkah ini bagi memastikan tujuan, skop, dan prosedur polisi tersebut dapat difahami dengan jelas serta mengambil kira realiti sebenar di persekitaran sekolah.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik keputusan KPM untuk mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi meneliti pelbagai kebimbangan berhubung pelaksanaan polisi berkenaan, selain berharap ruang dialog tersebut diperluaskan kepada warga pendidik.
“GPMS menyeru agar KPM membuka ruang dialog yang lebih menyeluruh bersama warga pendidik bagi memastikan polisi ini dapat dilaksanakan dengan jelas, adil dan mengambil kira realiti di sekolah. Melindungi murid adalah amanah, melindungi guru juga tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan Sesi Khas Oleh KPM
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa KPM akan mengadakan sesi khas bersama pihak pemegang taruh bagi menjawab serta meneliti isu dan kegusaran yang timbul berhubung pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
Pelaksanaan polisi ini berkuat kuasa menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lepas. Di bawah polisi berkenaan, semua warga sekolah serta pihak luar yang mempunyai urusan di sekolah mewajibkan penandatanganan Surat Aku Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.
SPI berkenaan menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan KPM, iaitu:
-
Kesihatan mental
-
Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial
-
Keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang
-
Polisi perlindungan murid
-
Kebajikan guru serta suara murid
Sumber Utama: BERNAMA






