BEIRUT : Seorang ibu warga Syria dan tiga anaknya meninggal dunia dalam tidur selepas terhidu asap toksik daripada arang batu yang digunakan sebagai haba melindungi diri dari kesejukan, menurut kumpulan penyelamat pada Ahad.
Youssef al-Dor, seorang pegawai Persatuan Ambulans Kesihatan Resala, berkata dia mengangkut mayat untuk dikebumikan dari hospital di mana keempat-empatnya disahkan meninggal dunia.
Al-Dor berkata, keluarga itu menggunakan arang batu untuk memanaskan bilik mereka kerana kesejukan di sebuah rumah di Kharayab, sebuah perkampungan selatan yang menghadap ke Laut Mediterranean.
Seorang pegawai dari Hospital Fakih berkata ibu tersebut yang berusia 31 tahun bersama anak-anaknya masing-masing berusia 8, 7 dan 4 tahun sudah meninggal dunia sebaik tiba di tempat kejadian.
Keempat-empat mereka disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas. Pegawai tersebut memaklumkan perkara itu dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan selaras dengan peraturan.
Lubnan, sebuah negara memiliki populasi 6 juta, adalah tempat tinggal kepada 1.5 juta rakyat Syria yang melarikan diri dari perang saudara yang sudah berusia sedekad di negara mereka.
Mereka terpaksa tinggal di kem yang tidak terurus dan rumah yang usang.
Di saat Lubnan bergelut dengan krisis ekonomi, kadar kemiskinan telah bertambah dan memberi kesan terhadap kedua-dua pihak Lubnan dan Syria.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa 90 peratus isi rumah pelarian Syria hidup dalam kemiskinan tegar.
-Al Arabiya News