Lokasi dan nasib Pengarah Hospital Al Shifa di Gaza, Dr Muhammad Abu Salmiya, masih tidak diketahui selepas dua minggu dia ditangkap oleh tentera Israel.
Salmiya menjadi wajah ketabahan doktor Palestin apabila beliau sentiasa mengemas kini dunia tentang kematian dan kecederaan serta situasi infrastruktur kesihatan yang berulang kali dserang hebat Israel sejak 7 Oktober.
Salmiya ditahan pada 23 November selepas Al Shifa diceroboh oleh tentera Israel, menghalau doktor dan pesakit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kebimbangan mengenai Salmiya, yang telah ditahan ketika menjalankan pemindahan pesakit yang diawasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Laporan media Israel mengatakan mahkamah awam baru-baru ini melanjutkan penahanan Abu Salmiya walaupun dia belum didakwa secara rasmi.
Tel Aviv menggunakan peraturan zaman perang terhadap pengarah Al Shifa. Langkah-langkah kejam seperti itu biasanya digunakan ke atas pejuang Hamas untuk menahan mereka selama berbulan-bulan tanpa perbicaraan.
Salmiya ditahan oleh Shin Bet, Agensi Keselamatan Israel, dan dianggap sebagai ‘pejuang yang menyalahi undang-undang’ – klasifikasi yang digunakan Israel dalam Interment of Unlawful Combatant Law (UCL) untuk menafikan tahanan hak yang diberikan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Parlimen Israel menggubal UCL pada tahun 2002 bagi memenjarakan tahanan untuk tempoh yang lebih lama tanpa sebarang pertuduhan. Sejak itu, pihak berkuasa Israel kerap menggunakan undang-undang itu ke atas rakyat Palestin dari Gaza.
Daripada menyatakan kesalahan mereka, rakyat Palestin perlu membuktikan mereka tidak bersalah selepas ditahan, kata Human Rights Watch, menyelar undang-undang itu kerana meletakkan tanggungjawab pembuktian kepada tertuduh.
“Kerahsiaan bukti menjadikannya hampir mustahil bagi tahanan untuk mencabar dakwaan secara bermakna.”
Sebelum ini, Middle East Monitor, memetik pihak berkuasa Hamas, melaporkan bahawa Israel telah meningkatkan tempoh tahanannya selama 45 hari.
Al Shifa, hospital terbesar di Gaza, menjadi pusat perlindungan untuk beribu-ribu orang yang melarikan diri dari pengeboman tanpa henti Israel.
Sejak tercetusnya perang, Israel menyekat bekalan bahan api, makanan dan ubat-ubatan ke Gaza, doktor terpaksa membedah pesakit tanpa bius dan merawat ratusan yang cedera di atas lantai kerana kekurangan katil.
Di sebalik segala rintangan, doktor di Al Shifa terus merawat mangsa yang cedera di bawah pimpinan Salmiya yang bersama setengah dozen kakitangan perubatan enggan meninggalkan hospital itu walaupun kereta kebal dan tentera Israel mengepungnya.
Serangan tentera Israel ke atas Al Shifa telah dikutuk di peringkat antarabangsa tetapi Tel Aviv meneruskan serangan, mendakwa kemudahan itu digunakan oleh Hamas dan berkongsi satu set visual sebagai “bukti” yang telah disangkal dan diejek di media sosial.
Walaupun dakwaan Israel bahawa Hamas beroperasi dari hospital itu belum disahkan secara bebas, Shin Bet berkata Salmiya sedang disoal siasat berhubung dakwaan Hamas menggunakan hospital itu sebagai pusat arahannya.
Kumpulan hak asasi manusia dan pakar undang-undang telah bertahun-tahun menimbulkan kebimbangan bahawa peraturan sedemikian melucutkan hak rakyat Palestin untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
Mahkamah tentera telah membicarakan kira-kira 800,000 rakyat Palestin dalam tempoh lima dekad yang lalu, menurut badan amal War on Want yang berpangkalan di UK.
Komander tentera Israel yang bertanggungjawab mempunyai kuasa budi bicara untuk mengharamkan mana-mana organisasi.
Sekitar 400 pertubuhan dan NGO Palestin, termasuk kumpulan pelajar, telah diharamkan oleh mahkamah tentera, di mana kadar sabitan hampir 99 peratus.
SUMBER: TRT WORLD