Semasa

Kenaikan harga komponen makanan ternakan mempengaruhi harga ayam – Ronald

PUTRAJAYA Kenaikan harga komponen makanan ternakan di pasaran antarabangsa boleh mempengaruhi kenaikan harga ayam standard di pasaran tempatan ketika ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Bercakap kepada media selepas majlis pengumuman agihan dividen Dana Peladang Kebangsaan di Putrajaya hari ini, Ronald berkata harga komponen makanan bagi menghasilkan makanan ayam akan meningkat selari dengan kenaikan harga di pasaran dunia.

“Antaranya dedak, komponen makanan haiwan seperti jagung, kacang soya dan sebagainya bergantung kepada harga pasaran import luar negara.

“Kita tertakluk kepada itu (harga import) sebab itu harga makanan haiwan tertakluk kepada harga komponen makanan haiwan yang diimport,” katanya mengulas laporan kenaikan harga ayam standard di pasaran tempatan yang mencecah RM10 sekilogram (kg) sejak minggu lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan semalam menyatakan pemantauan dan pemeriksaan di peringkat makanan ayam (dedak), mendapati berlaku peningkatan terhadap kos bagi bahan-bahan utama makanan ayam iaitu jagung, soya dan minyak sawit mentah yang merupakan antara bahan utama bagi pengeluaran makanan ternakan tersebut.

Dua bahan tersebut iaitu jagung dan soya merupakan item yang diimport 100 peratus daripada negara luar.

Ronald berkata kepentingan semua pihak perlu diambil kira dalam menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran, dan perlu ada keseimbangan antara kos pengeluaran produk makanan dan harga akhir kepada pengguna.

“Jika dikatakan ada kenaikan harga produk makanan tertentu, kita kena kaji apa faktor-faktor dengan kenaikan sama ada disebabkan oleh logistik, makanan ayam seperti komponen makanan atau faktor perolehan anak ayam dan sebagainya, semua ini perlu dikaji,” katanya.

KPDNHEP melaporkan ‘Price Alert Harian’ pada Isnin lepas mendapati harga ayam standard peringkat nasional meningkat daripada RM8.39 sekilogram kepada RM8.47 sekilogram, peningkatan sebanyak 0.94 peratus atau lapan sen sekilogram.

Berdasarkan pemantauan KPDNHEP di Semenanjung, terdapat 19 premis yang menjual ayam standard pada harga melebihi RM10 sekilogram.

– BERNAMA

 

 

 

Related Articles

Back to top button