
TAPAH, 25 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pendidikan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian sewajarnya.
Menurut beliau, pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dijamin tempat untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMA), selain menerima biasiswa penuh daripada agensi tersebut.
“Saya telah meminta Pengarah MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya memastikan pelajar Orang Asli cemerlang diberikan biasiswa 100 peratus untuk menyambung pelajaran di IPMA,” katanya semasa berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah itu merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjamin akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor; Pengarah MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun. Lebih 1,000 masyarakat Orang Asli dari seluruh negeri hadir memeriahkan program tersebut.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan bawah 5A tidak akan dipinggirkan, sebaliknya turut berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan di bawah MARA.
Bagi peperiksaan SPM 2024, seramai 1,932 pelajar Orang Asli menduduki peperiksaan di seluruh Semenanjung Malaysia, dan daripada jumlah tersebut, seramai 87 pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas. Pecahan keputusan tersebut adalah 9A (dua pelajar), 8A (13), 7A (11), 6A (22) dan 5A (39).
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara memaklumkan bahawa laluan khas dalam bidang TVET turut akan diwujudkan bagi pelajar Orang Asli.
Sumber – Bernama