
Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa dipelihara melalui agenda penyediaan rumah mampu milik bagi meringankan beban kos sara hidup golongan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa langkah proaktif itu bertujuan mengimbangi peningkatan harga hartanah semasa, di samping memastikan setiap individu yang berkhidmat untuk negara mempunyai akses untuk memiliki kedianan sendiri.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, kerajaan bercadang untuk mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah milik agensi kerajaan yang terbiar atau tidak digunakan untuk dibangunkan sebagai projek perumahan mampu milik.
“Tanah Kastam, tanah Imigresen, tanah sekolah kalau lebih, kita buat rumah yang kos murah, sekurang-kurangnya untuk penjawat awam,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kg Jawa di sini hari ini.
Turut menghadiri majlis tersebut ialah Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran; Pengerusi PKR Johor, Datuk Sri Dr Zaliha Mustafa; serta calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee En Xiang, dan DUN Kemelah, Mohd Afif Abd Hamid.
Anwar menegaskan bahawa inisiatif itu bukan sekadar perancangan kosmetik, malah sebahagian daripadanya telah mula dilaksanakan di beberapa buah negeri termasuklah di Johor.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 1,700 unit kediaman mampu milik kos rendah telah pun diluluskan dan memulakan proses pembinaan di Johor bagi memastikan kakitangan awam di negeri berkenaan tidak terbeban dengan isu pemilikan rumah.
Program Ramah Mesra Bersama-sama PMX itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah Anwar bersempena dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah, dan 17 calon DAP.
Secara keseluruhannya, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian rasmi ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala urusan pengundian awal dijadualkan pada 7 Julai.
-Bernama







