
Nasib pekebun durian tempatan yang terjejas akibat kejatuhan harga susulan musim raja buah itu yang berlaku hampir serentak di seluruh Semenanjung mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berjanji akan membawa isu tersebut ke meja rundingan bersama rakan sejawatnya dari China, Li Qiang, pada bulan depan.
Langkah berkenaan diambil bertujuan untuk mencari jalan memperluas akses pasaran durian Malaysia ke negara tembok besar itu, sekali gus meningkatkan permintaan pasaran dan menstabilkan semula harga durian yang menjejaskan pendapatan pekebun ketika ini.
“Baik, saya janji satu perkara… Li Qiang itu Perdana Menteri (China) kawan baik (saya)… saya akan ke China bulan depan dan saya mahu bawa durian sebab saya tengok harga jatuh. China punya standard tinggi, tinggi sangat tapi saya (akan cuba) runding,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Sesi Ramah Mesra Bersama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di sini malam ini.
Turut menghadiri majlis tersebut ialah Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; serta calon PH bagi DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof.
Anwar menegaskan bahawa hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan China wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi membuka lebih banyak peluang perdagangan baharu, yang akhirnya memberikan keuntungan kepada para pengusaha serta pekebun tempatan terutamanya ketika mendepani lambakan hasil tanaman.
Harga Bahan Api Malaysia Antara Terendah di Dunia
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia kekal sebagai antara negara yang menawarkan harga bahan api pada kadar yang paling rendah kepada rakyat hasil daripada intervensi berterusan oleh pihak kerajaan. Langkah perlindungan ini dikekalkan walaupun harga minyak mentah dunia sedang berdepan tekanan susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Selaku Menteri Kewangan, beliau menyatakan bahawa konflik semasa yang melibatkan Iran dan Amerika Syarikat memberikan tekanan langsung kepada pergerakan harga minyak global bersandarkan prinsip ekonomi serta gangguan rantaian bekalan. Namun, kerajaan memilih untuk tidak membebankan rakyat dengan impak kenaikan tersebut.
“Tak ada negara di dunia harga minyak turun macam Malaysia… Malaysia satu-satunya negara harga minyak paling rendah di dunia… bukan senang (nak turunkan harga bahan api)… kita (Kabinet) bincang sebab saya tak sampai hati (harga bahan api meningkat). Kalau ikut ekonomi, ikut hukum ataupun dasar, dasar ekonomi, harga minyak mesti naik tetapi rakyat bagaimana? Sebab itu, saya tak setuju harga naik, minyak naik (dan) kita turunkan,” jelas beliau.
Sebagai rekod, harga runcit pasaran bagi bahan api di Malaysia untuk tempoh 1 hingga 8 Julai ditetapkan pada kadar RM3.37 seliter bagi RON97 dan RM3.97 seliter bagi diesel. Walau bagaimanapun, melalui pelaksanaan inisiatif skim subsidi bersasar BUDI MADANI, rakyat menerima kadar harga yang jauh lebih rendah iaitu pada paras RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel.







