
Sering kali orang mempunyai tanggapan negatif terhadap individu yang menghidapi ‘down syndrome’, mereka menganggap bahawa golongan istimewa seperti mereka ini tidak boleh memiliki cahaya mata.
Hakikatnya, mereka boleh mendapatkan zuriat seperti orang normal, dan dalam masa yang sama lelaki yang menghidapi penyakit tersebut juga boleh menjadi seorang bapa.
Jad Issa, seorang lelaki sindrom Down berasal dari Syria yang menjadi inspirasi buat orang ramai kerana berjaya membesarkan anak bersama isteri sehingga menjadi seorang doktor yang berjaya.
Selepas anak lelakinya, Sader dilahirkan, dia dijaga umpama menatang minyak yang penuh dan dimanjakan sama seperti kanak-kanak lain.
Sader memberitahu bahawa dia masih ingat berasa sangat disayangi sebagai seorang kanak-kanak dan bapanya akan menghabiskan masa bersamanya untuk bergusti, gusti ibu jari dan bermain permainan lain.
Masyarakat sekeliling juga memberi sokongan terhadap keluarga tersebut dan menerima mereka seadanya.
Memiliki impian besar untuk anaknya, Jad, yang pernah bekerja di kilang gandum, mula menyimpan wang untuk membiayai pendidikan anaknya.
Dia sanggup berkorban demi menyara keluarganya dan menurut Sader, kerja keras dan komitmen bapanya untuk memberikan masa depan yang terbaik mendorong semangat kepadanya untuk belajar dengan baik dan menjadi seorang doktor.
“Saya fikir saya akan menjadi lebih kurang bersemangat untuk teruskan kehidupan dan kurang berminat dengan apa yang saya lakukan tanpa bapa saya,” tulisnya dengan kapsyen gambar bersama ayahnya.
Sader kini seorang doktor gigi, yang merupakan salah satu kerjaya terbaik dan bergaji tinggi di Syria, dan kebahagiaan Jad tiada batasan. Ketika anaknya masih belajar, Jad akan memperkenalkan orang baru kepadanya dengan memberitahu mereka “anak saya seorang doktor” dengan penuh bangga.
Bercerita mengenai hubungan yang dikongsi ibu bapanya, Sader memberitahu kami walaupun sudah berpuluh tahun bersama, namun kasih sayang antara ibu dan ayahnya umpama mereka baru berkahwin semalam.
Mereka memahami keperluan masing-masing dengan sempurna. Mereka suka berjalan-jalan bersama-sama dan kadangkala mereka hanya duduk dan berbual selama berjam-jam.
Membaca cerita mengenai kehidupan seorang individu sindrom Down yang berjaya ini, sudah pasti ia mampu memberi inspirasi kepada orang di luar sana yang mungkin rasa hilang harapan atas kekurangan dimiliki.
Dengan berkat sabar dan usaha yang berterusan, setiap manusia ciptaan Tuhan di muka bumi ini pasti akan menemui kejayaannya satu hari nanti.
-BrightSide