Semasa

Agensi Penyelamat siap siaga hadapi bencana

KUALA LUMPUR: Latihan simulasi bencana seperti letupan, kebocoran bahan kimia dan kebakaran mampu meningkatkan persediaan agensi penyelamat selain memastikan setiap anggota penyelamat sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.

Ketua Jabatan Pakar Perubatan Kanan Kecemasan dan Pengurusan Bencana Kementerian Kesihatan Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman berkata latihan semulasi bencana yang diadakan pada Rabu lepas merupakan antara persediaan kementerian itu untuk memastikan setiap anggota tidak lupa dengan prosedur operasi standard (SOP) serta protokol sewaktu bertugas.

“Dengan adanya latihan simulasi seperti ini, kesiap siagaan pasukan keselamatan dan penyelamat kita lebih teratur selain dapat memberi ilmu tambahan kepada setiap anggota untuk mengemaskini segala SOP yang ditetapkan sebelum menghadapi apa-apa bentuk bencana“, katanya kepada BERNAMA selepas menyaksikan latihan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Latihan simulasi yang dijalankan itu bersempena dengan persidangan antarabangsa ‘5th Emergency Medicine Annual Scientific Meeting & Table Top Exercise and Communication In Disaster Medicine‘ melibatkan kerjasama daripada agensi kerajaan seperti polis, bomba, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Kimia, Jabatan Tenaga Atom dan Majlis Keselamatan Negara.

Latihan simulasi itu berkisar mengenai letupan bom berserta pencemaran bahan kimia yang berlaku di sebuah tempat tertutup dengan dengan terdapat kira-kira 10 mangsa terperangkap dan terhidu pencemaran itu.

Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat ditugaskan untuk memasuki kawasan berkenaan serta bertanggungjawab untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian

Menurut Dr Mohamed Alwi, latihan semulasi seperti itu perlu dilakukan lebih kerap untuk melatih para anggota supaya cekap dan efisien bagi menghadapi bencana kerana negara ini sering mengalami bencana seperti banjir, tanah runtuh dan bencana di kawasan industri.

BACA JUGA
MAPIM Mobile Kitchen digerakkan bantu mangsa bencana banjir di Johor

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button