WASHINGTON : Lima bilion penduduk dunia dijangka berdepan krisis masalah bekalan air menjelang 2050, berdasarkan kajian Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), semalam.
Menurut laporan Agensi Berita Jordan (Petra), pada tahun 2018 seramai 3.6 bilion penduduk dunia berdepan masalah kekurangan air.
Laporan terbaharu agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), memaklumkan sejak 20 tahun lalu, penyimpanan air di daratan, penjumlahan semua air di atas dan bawah permukaan tanah, termasuk kelembapan tanah, salji dan ais menurun pada kadar satu sentimeter setiap tahun.
Kekurangan bekalan air terbanyak berlaku di Antartika dan Greenland.
Sementara itu, lokasi penempatan di kawasan rendah yang mempunyai kepadatan penduduk mengalami kehilangan air lebih banyak ekoran kaedah penyimpanan tradisional menjejaskan keselamatan bekalan air.
Lebih buruk apabila hanya 0.5 peratus air di bumi dapat digunakan.
Justeru langkah bersepadu untuk menyokong pengurusan sumber air amat diperlukan selain pelaburan yang mampan bagi memastikan penduduk dunia terus memperoleh bekalan air mencukupi.
Oleh Nurshazlin Shahrom