Semasa

Manila arah lebih banyak kapal tentera laut ke Laut China Selatan

Pertikaian diplomatik semakin memuncak terhadap armada kapal Beijing

MANILA 25 Mac : Tentera Filipina hari ini, mengerah lebih banyak kapal tentera laut ke Laut China Selatan, ketika pertikaian diplomatik semakin memuncak terhadap armada kapal China, berlabuh berhampiran kawasan terumbu yang dipertikai.

China mendakwa memiliki hampir keseluruhan laut yang kaya dengan sumber itu, manakala Amerika Syarikat (AS) minggu ini, menuduhnya cuba memaksa dan memprovokasi pihak lain dengan meletakkan kapalnya berhampiran Terumbu Whitsun.

“Manila mengarahkan Beijing menarik balik 183 kapal di terumbu berbentuk boomerang, hampir 320 kilometer (km) di barat Pulau Palawan dan menyifatkan kehadiran kapal China, sebagai serangan kedaulatan wilayahnya.”

Pada 7 Mac lalu, kira-kira 220 kapal dikesan pengawal pantai Filipina tetapi hanya diumumkan pada hujung minggu lalu. Rondaan udara tentera di terumbu, Isnin lalu, mendapati 183 daripadanya masih ada di situ.

Jurucakap Angkatan Tentera Filipina berkata, kapal tentera laut tambahan akan melakukan rondaan kedaulatan di laluan air.

Beliau tidak menjelaskan jenis kapal akan digunakan atau sama ada ia akan mendekati kawasan terumbu.

Pertikaian diplomatik memuncak dengan beberapa negara, termasuk Kanada, Australia dan Jepun menyatakan keprihatinannya terhadap ketegangan baharu di rantau itu.

Terumbu Whitsun berbentuk seperti boomerang dengan kapal China berlabuh, berdasarkan gambar dari satelit pada 23 Mac 2021 dari Maxar Technologies. - Foto AFP
Terumbu Whitsun berbentuk seperti boomerang dengan kapal China berlabuh, berdasarkan gambar dari satelit pada 23 Mac 2021 dari Maxar Technologies. – Foto AFP

Beijing sering merujuknya sebagai garis sembilan tanda hubung untuk membenarkan hak bersejarahnya yang jelas, atas sebahagian besar Laut China Selatan, yang sebahagiannya dituntut Taiwan, Malaysia, Filipina dan Brunei.

China mengabaikan keputusan pengadilan antarabangsa pada 2016, menyifatkannya penegasan tanpa asas.

Hubungan Filipina-China semakin tegang di bawah Presiden, Rodrigo Duterte, yang mengusahakan kerjasama ekonomi lebih besar bersama Beijing.

Beliau berulang kali berkata, konflik dengan China akan menjadi pertikaian sia-sia dan Filipina akan kalah serta menderita dalam proses itu. – AFP

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button