DomestikSemasa

MURID TAHUN LIMA CEDERA JATUH TINGKAT TIGA BANGUNAN SEKOLAH KERANA MAHU TANGKAP BURUNG

Seorang murid lelaki tahun lima mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di daerah Padang Terap hari ini. Kejadian malang tersebut dipercayai berlaku ketika mangsa cuba mengambil seekor burung yang berada di atas siling bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Supt Mohd Anuar Junoh, memaklumkan bahawa pihak polis menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu daripada seorang guru sekolah terbabit kira-kira jam 4 petang.

“Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati insiden berkenaan merupakan kemalangan sendiri dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa insiden itu sebenarnya berlaku sebelum sesi kelas KAFA bermula pada sebelah petang.

Menurut JPN Kedah, murid berkenaan pada mulanya telah pulang ke rumah selepas sesi persekolahan biasa dan datang semula ke sekolah untuk menghadiri sesi KAFA. Bagaimanapun, sebelum kelas bermula, dia telah memanjat siling di tingkat tiga bangunan sekolah itu seorang diri.

“Murid itu dipercayai bertindak demikian kerana mahu menangkap seekor burung merpati di dalam siling melalui laluan pili bomba. Kenyataan rasmi yang lebih lanjut mengenai kejadian ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” jelas kenyataan JPN Kedah.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button