Memang ada misi tak tercapai dalam Global Sumud Flotilla – Nadir Al Nuri
Di lautan Mediterranean yang tenang di luar tapi bergelora di dalam hati, Ketua Pengarah Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menatap ombak yang memisahkan kasih seorang ayah dengan anaknya di Gaza. Bagi beliau, misi Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sekadar perjalanan kemanusiaan tetapi perjuangan peribadi. Antara beratus tan bantuan, ada satu pek kecil za’atar, rempah ringkas yang sarat dengan rindu seorang bapa.
“Saya hanya mahu anak saya rasa sedikit makanan yang ayahnya sendiri hulurkan.”
— Nadir Al-Nuri
Nadir bercerita, dalam pertemuan terakhir dengan adiknya yang juga rakan aktivis, Musa Nuwayri di atas kapal Alma, beliau sempat menyerahkan satu pek za’atar iaitu makanan ruji rakyat Palestin dengan harapan kecil agar ia sampai kepada anak sulungnya, Seneen, yang masih berada di Gaza bersama suami dan anak.

“Saya campakkan pek itu ke kapal Musa dari jauh kerana ombak kuat. Dengan izin Allah, ia mendarat elok di atas bumbung kapal itu.”
Namun, takdir berkata lain. Za’atar itu tidak pernah sampai kepada Seneen.
Di sebalik kisah ini, ada makna yang menusuk dimana seorang ayah, yang pernah menjadi simbol perjuangan kemanusiaan rakyat Gaza, kini hanya mampu menitipkan sebungkus kecil rempah sebagai lambang kasih dan doa.
“Terkilan tak ada rezeki za’atar tu sampai kepada Seneen untuk dicicah roti panas dan mengisi perutnya yang lapar,” tulisnya mungkin dalam nada sebak.
Kisah ini bukan sekadar tentang kegagalan satu usaha tetapi tentang betapa sempitnya ruang kemanusiaan di bumi yang dikepung, sehingga seorang ayah pun tidak mampu mengirim makanan kepada anaknya sendiri.
Bagi ramai aktivis, GSF adalah misi membawa bantuan. Tapi bagi Nadir, ia adalah perjalanan jiwa. Di sebalik lautan, beliau membawa harapan jutaan rakyat Malaysia kepada Gaza.
Seperti semua aktivis kemanusiaan yang lain dari seluruh dunia, kini, Nadir hanya menanti satu saat. Saat sempadan dibuka sepenuhnya dan beliau dapat memeluk anaknya semula.
“Moga sempadan cepat dibuka dan saya dapat jumpa dia, peluk dan sebutkan.. jangan bimbang lagi, Baba dah di sini.”
Ungkapan itu bukan sekadar doa seorang ayah. Ia juga jeritan umat manusia yang menuntut hak paling asas untuk menyentuh, memberi makan dan melindungi keluarga sendiri.
Kisah kecil tentang sepeket za’atar ini mengingatkan kita bahawa perjuangan Gaza bukan hanya soal politik atau sempadan tetapi tentang cinta, keluarga dan harapan.
Selagi masih ada ayah seperti Nadir yang sanggup menyeberangi lautan untuk anaknya, selagi itu, perjuangan demi kemanusiaan tidak pernah mati.. #BreakTheSilence #BreakTheSiege








