Pemasangan Tenaga Solar Di Sekolah Bantuan Kerajaan Mampu Jimat Bil Elektrik – Wong

Projek rintis pemasangan sistem penjanaan tenaga solar di Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) dilihat mempunyai potensi yang besar untuk diperluaskan ke lebih banyak sekolah bagi mengurangkan beban perbelanjaan bil elektrik.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, menerusi pelaksanaan projek ini, pihak sekolah dijangka mampu menikmati penjimatan bil elektrik sekitar RM1,500 hingga RM1,700 sebulan. Jumlah penjimatan berkenaan dianggarkan boleh mencecah kira-kira RM382,000 dalam tempoh 20 tahun melalui pendekatan Zero CAPEX iaitu pemasangan panel solar tanpa melibatkan sebarang kos kepada pihak sekolah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian projek rintis pertama Sistem Penjanaan Tenaga Solar Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Chai Ipoh, hari ini.
Projek rintis ini merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timur dengan kerjasama GSPARX Sdn Bhd (anak syarikat Tenaga Nasional Berhad) serta badan pemikir dan advokasi, Malaysia100.
“Hari ini kita dengan usaha daripada Ahli Parlimen kawasan Ipoh Timur (Howard Lee) telahpun berjaya melaksanakan projek sistem penjanaan tenaga solar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sam Chai.
“Dalam masa yang sama (pelaksanaan program) ini membuka satu formula ataupun satu model baharu khas bagi sekolah bantuan kerajaan bagaimana untuk menikmati penjimatan dari segi bil elektrik di bawah dasar kerajaan untuk membangunkan tenaga baharu di negara ini,” katanya.
Jana Pendapatan Tambahan dan Platform Pendidikan Hijau
Wong menjelaskan bahawa selain daripada menjana bekalan elektrik untuk kegunaan sendiri, model penjanaan ini membolehkan pihak SBK menjual semula lebihan tenaga yang terhasil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Langkah ini sekali gus dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh lembaga pengelola sekolah.
Di samping aspek kewangan, pemasangan sistem solar ini juga bertindak sebagai platform pendidikan yang praktikal bagi membolehkan para murid memahami dengan lebih mendalam tentang kepentingan tenaga boleh baharu serta pemeliharaan alam sekitar.
“Kita bukan sahaja mengajar mengenai tenaga boleh baharu dalam buku teks, tetapi murid dapat melihat sendiri bagaimana sistem ini berfungsi dan bagaimana ia membantu memelihara bumi dan nilai itu perlu dipupuk sejak kecil,” ujar beliau.
15 Buah Sekolah Lagi Bakal Menyusul
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee memaklumkan bahawa pihaknya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama 15 buah sekolah lagi untuk melaksanakan projek solar berkenaan.
Beliau menambah, model kerjasama yang dibentuk bersama GSPARX ini terhasil selepas melalui proses rundingan selama lebih setahun, dan kini ia sudah bersedia untuk dijadikan modul rujukan oleh SBK lain di seluruh negara.
Format, model, serta terma rujukan yang telah berjaya dihasilkan ini dijangka dapat menjadi panduan berguna, khususnya bagi sekolah bantuan kerajaan yang mempunyai keperluan mendesak dalam mengurangkan kos operasi bulanan mereka.
Model inovatif ini juga dirancang untuk diperluaskan ke kawasan lain di Perak termasuklah Teluk Intan, Taiping, dan Bagan Serai, dengan sokongan khidmat fasilitasi berterusan daripada pihak Malaysia100.
Sumber Berita: BERNAMA





