Puluhan rakyat Palestin di Gaza menunaikan solat pada hari pertama Ramadan, di tengah-tengah runtuhan masjid yang terkena serangan udara israel.
Ramai daripada mereka yang tidak menghadiri solat kerana berada di jalanan mencari apa sahaja makanan yang boleh mereka temui untuk keluarga yang tinggal di kem sementara.
“Saya harap pesawat akan mengebom saya dan saya mati,” kata Zaki Hussein Abu Mansur, pernah memiliki rumah yang dibina untuk keluarganya di Khan Yunis – di mana tentera israel terlibat dalam operasi darat menentang Hamas.
“Lebih baik mati daripada menjalani kehidupan ini,” kata lelaki berusia 63 tahun itu kepada AFP.
“Kadang-kadang kita melihat perkara yang kita perlukan ada di pasar tetapi kita tidak boleh membelinya.”
Kehilangan adalah perkara biasa di Gaza pada Ramadan ini. Pasar di Rafah kekurangan barangan makanan dan beberapa kedai mempunyai qatayef, pencuci mulut tradisional yang dijual secara semasa Ramadan.
Lampu terang dan hiasan yang biasanya menghiasi jalan raya pada bulan puasa tidak kelihatan, walaupun beberapa gerai mempamerkan tanglung Ramadan.
“Kami tidak mampu membeli sayur-sayuran, apatah lagi buah-buahan,” kata Maisa al-Balbissi, 39 tahun yang berpindah dari utara Gaza dan kini berlindung di Rafah.
“Semuanya terlalu mahal. Saya dan anak-anak tidak mampu membeli apa-apa. Harga barangan yang paling murah pun telah melambung tinggi,” kata ibu dua anak itu kepada AFP di khemahnya.
Tidak rasa gembira
Rakyat Palestin menyambut Ramadan tahun ini di tengah-tengah serangan kejam dan pencerobohan israel. Bagi mereka yang terpaksa tinggal di kem yang sesak, realiti suram kekurangan makanan dan keadaan hidup yang tidak bersih telah menyuramkan suasana perayaan bulan suci itu.
Kira-kira 1.5 juta orang telah mencari perlindungan di Rafah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebahagian besarnya tanpa akses kepada makanan, air dan ubat-ubatan.
“Saya menghidap kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung,” kata Abu Mansur, menggambarkan perjuangan hariannya untuk mencari ubat.
“Saya tidak boleh makan makanan dalam tin.”
Walaupun israel dan Mesir menyekat Gaza sejak sekian lama, pada tahun-tahun sebelumnya barangan yang diperlukan untuk Ramadan masih ada.
“Ramadan kali ini berbeza dengan tahun lepas,” kata Abdelrahman Ashur, 19.
“Tiada apa-apa lagi. Kami tidak merasai kegembiraan itu. Setiap Ramadan kami berada di rumah dan kini kami duduk di dalam khemah yang kami bina dengan tangan kami sendiri.”
Ujian sebenar
Ketika matahari terbit pada hari pertama Ramadan, asap dari serangan udara kelihatan di Rafah.
Awni Al Kayyal, 50, berkata, dia melihat ambulans yang membawa mayat sejurus dia bangun.
“Permulaan Ramadan yang sedih dan diselubungi kegelapan, dengan bau darah dan bau busuk di mana-mana… Saya bangun di dalam khemah saya dan mula menangis melihat keadaan kami,” katanya kepada AFP.
Lewat Ahad, jemaah menunaikan solat magrib di masjid Al Hadi yang rosak akibat serangan israel.
Gerbang klasiknya retak, manakala tiang konkrit yang menyokong siling condong secara berbahaya.
Menurut pejabat akhbar kerajaan Gaza, tentera israel telah mensasarkan lebih daripada 500 masjid sejak permulaan perang, dengan 220 daripadanya musnah.
Sementara itu, di Baitulmaqdis timur yang diduduki, kebimbangan terhadap pertempuran semasa Ramadan berlaku di kalangan rakyat Palestin.
Setiap tahun, puluhan ribu umat Islam menunaikan solat Ramadan di masjid Al Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam.
Tahun ini Hamas telah menyeru “orang kita” untuk bergerak dan berarak menuju Al Aqsa dari awal Ramadan.
“Buat masa ini, sunyi. Kita lihat pada hari Jumaat,” kata Ali, seorang penduduk Kota Lama, merujuk kepada solat Jumaat, ketika jemaah besar berkumpul di masjid. “Itu akan menjadi ujian sebenar,” katanya.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI