EkonomiSemasa

Pengambilalihan FGV Langkah Konsolidasi Penting – Pengerusi Felda

Pengambilalihan FGV Holdings Bhd (FGV) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan satu langkah konsolidasi strategik bagi memperkukuh struktur dan operasi kumpulan itu di masa hadapan.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha itu bertujuan menyeragamkan kembali struktur antara Felda dan FGV bagi mengelakkan pertindihan fungsi serta meningkatkan kecekapan pengurusan.

“Sebagai contoh, dalam operasi Felda dan FGV, kedua-duanya mempunyai jabatan hospitaliti dan koperasi tersendiri, masing-masing juga ada ketua pegawai eksekutif (CEO). Jadi persoalannya, adakah perlu setiap satu ada CEO, atau cukup dengan satu CEO untuk keseluruhan entiti?

“Ini adalah peluang untuk kita menyusun dan menstrukturkan semula Felda serta FGV tanpa terikat dengan peraturan Bursa. Langkah ini penting untuk membawa Felda ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Setakat ini, Felda telah memperoleh lebih 90 peratus pegangan saham dalam FGV melalui tawaran pengambilalihan sukarela yang sedang berlangsung, sekali gus membuka laluan untuk proses pengambilalihan penuh.

Langkah ini turut menyokong aspirasi Felda dalam menjayakan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan Felda 2025-2030, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan kumpulan secara mampan dan berfokus.

Pada tahun 2020, Felda memulakan langkah pengambilalihan FGV selepas meningkatkan pegangannya daripada 33.66 peratus dengan membeli saham daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah pada nilai RM658 juta.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012 pada harga RM4.55 sesaham dan berjaya mengumpul RM10.5 bilion dalam salah satu tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di negara ini. Namun begitu, harga saham syarikat itu telah mengalami penurunan ketara sejak itu.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button