
Malaysia masih bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan industri produk berasaskan lateks, khususnya sarung tangan getah, kerana pengeluaran lateks tempatan hanya memenuhi sekitar lima hingga 10 peratus daripada keperluan.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memaklumkan selebihnya diimport dari negara pengeluar seperti Thailand dan Indonesia, berikutan majoriti pekebun kecil lebih memilih menghasilkan getah sekerap (cuplump) berbanding lateks yang memerlukan kerja tambahan serta kemudahan pengumpulan yang berdekatan.
Pada 2024, pengeluaran lateks tempatan direkodkan sebanyak 19,274 tan, jauh lebih rendah berbanding penggunaan dalam negara sebanyak 215,413 tan. Malaysia mengimport 220,282 tan lateks bernilai RM2.33 bilion untuk menampung keperluan tahunan yang diunjur antara 215,000 hingga 250,000 tan.
“Jika pengeluaran domestik terus merosot, import dijangka meningkat bagi memenuhi permintaan industri hiliran,” jelas KPK dalam jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat hari ini.
Bagi menggalakkan peralihan pekebun kecil kepada pengeluaran lateks, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia melaksanakan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL+) di Kedah dan Perak, yang membolehkan pekebun menjual terus kepada kilang tanpa melalui peraih.
Sehingga Jun 2025, sebanyak 221 tan lateks dihasilkan menerusi projek itu, dengan peluasan program ke Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor dijangka meningkatkan jumlah pengeluaran.