
Seorang pensyarah matematik berusia 60-an di Universiti Bar-Ilan telah didakwa atas tuduhan merancang siri serangan pengganas secara bersasar bagi membunuh rakyat Palestin di Israel, Baitulmaqdis Timur, dan Tebing Barat yang diduduki.
Menurut laporan Haaretz, rancangan yang diberi nama “Pemindahan Am Ya’aseh” (negara akan menjalankan pemindahan) itu bertujuan mencetuskan kegentaran supaya penduduk Palestin diusir atau melarikan diri ke Jordan, Lubnan, dan Gaza. Identiti suspek masih dirahsiakan di bawah perintah larangan mahkamah (gag order).
Merekrut Elemen Ekstremis dan Pembahagian Sel
-
Skim Terancang & Sasaran Korban: Pelan yang dirangka selama lebih tiga tahun itu membabitkan 72 anggota Yahudi bersenjata yang dibahagikan kepada 12 sel. Serangan disasarkan ke atas kawasan kejiranan campuran dan komuniti Palestin, dengan unjuran mengorbankan 600 hingga 700 nyawa tanpa belas kasihan, termasuk wanita dan kanak-kanak.
-
Cubaan Merekrut Pasukan Keselamatan: Suspek cuba mendapatkan bantuan daripada elemen subversif dalam Tentera Udara Israel, kor artileri, dan unit perisai, selain cuba merekrut bekas pegawai keselamatan, ahli akademik, wartawan, dan tokoh politik sayap kanan seperti Moshe Feiglin (pemimpin puak Zehut).
-
Cubaan Merekrut “Belia Puncak Bukit”: Pada Jun lepas, profesor tersebut meminta anak perempuannya merekrut kelompok peneroka haram ekstremis Tebing Barat (hilltop youth), namun permintaan itu ditolak oleh anaknya.
Tindakan Undang-Undang dan Respons Universiti
-
Pertuduhan Mahkamah: Pejabat Peguam Daerah Pusat memfailkan pendakwaan di Mahkamah Daerah Lod dan memohon supaya suspek terus ditahan sehingga prosiding selesai.
-
Gantung Tugas: Pihak Universiti Bar-Ilan menggantung tugas pensyarah berkenaan serta menzahirkan rasa terkejut dan menegaskan tidak toleran terhadap sebarang tindakan sedemikian.
Rakyat Palestin berwarganegara Israel merangkumi kira-kira 21 peratus daripada keseluruhan populasi Israel yang melebihi 10 juta orang.
SUMBER: TRT World & Agensi







