DuniaKerohanianSemasa

Satu juta umat Islam bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini

JEDDAH – Tahun ini kerajaan Arab Saudi menyatakan peratusan terbesar jemaah haji bakal terdiri daripada umat Islam dari luar negara, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saed berkata, ibadah haji kali ini disertai oleh jemaah dari semua negara tanpa sebarang pengecualian.

Menurut beliau, selepas dua tahun tidak dapat menunaikan ibadah haji disebabkan oleh pandemik Covid-19, keputusan itu dilakukan bagi memberi peluang kepada jemaah luar negara untuk menunaikan rukun Islam kelima.

“Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan umat Islam dari seluruh dunia dan tiada satu pun negara dikecualikan daripada kebenaran untuk menunaikan ibadah haji,” katanya kepada stesen penyiaran Al-Arabiya.

Tambahnya lagi, terdapat kuota yang diperuntukkan bagi setiap negara dari segi jumlah jemaah dengan ratio satu kepada seribu jemaah. Ia akan dilaksanakan pada tahun ini berdasarkan keadaan kesihatan mereka.

“Kementerian sedang berusaha untuk menentukan kuota haji  ini bagi setiap negara berdasarkan fakta bahawa Tanah Suci Mekah mempunyai undang-undang dan tempoh waktu yang memerlukan ibadah haji dilakukan pada waktu dan lokasi tertentu,” ujarnya.

Di Arab Saudi, selepas seseorang itu mendapat tiga dos vaksin dianggap telah menerima imunisasi lengkap dan semua jemaah haji tahun ini perlu lengkap tiga dos vaksin Covid-19.

Minggu lalu, Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota musim haji tahun ini merangkumi satu juta jemaah haji domestik dan luar negara.

Turut diumumkan, dua peraturan penting yang perlu diikuti oleh jemaah iaitu, jemaah haji perlu berumur bawah 65 tahun dan mesti mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Selain itu, keputusan ujian tindak balas rantai Polimerase Transkripsi Balikan (PCR) perlu menunjukkan keputusan negatif dan ia dilakukan dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas bagi jemaah dari luar negara.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button