DuniaSemasa

‘Saya Menyaksikan Sejarah’: Jutaan Rakyat Iran Banjiri Tehran Iringi Jenazah Ayatollah Ali Khamenei

Ratusan ribu malah jutaan rakyat Iran dari pelbagai pelosok negara dilaporkan membanjiri jalan-jalan utama di ibu negara ini sejak sebelum subuh bagi menghadiri upacara perarakan jenazah besar-besaran As-Syahid Ayatollah Sayyid Ali Khamenei.

Suasana hiba namun penuh keazaman itu disaksikan sendiri oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, yang kini berada di ibu negara Iran tersebut.

Menurut Mohd Azmi, perhimpunan raksasa itu bukan sekadar satu majlis pengebumian biasa, sebaliknya ia bertukar menjadi medan kesaksian sejarah di mana rakyat Iran menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada prinsip perjuangan yang ditinggalkan oleh pemimpin tertinggi mereka.

“Setiap air mata membawa makna, setiap laungan membawa semangat, dan setiap tangan yang diangkat menggambarkan keteguhan sebuah bangsa yang enggan menyerahkan maruahnya kepada musuh,” katanya dalam satu kenyataan bertulis dari Tehran hari ini.

Beliau menambah, saf kemanusiaan yang mengagumkan itu disertai oleh segenap lapisan masyarakat termasuk warga emas bertongkat, ibu-ibu yang mendukung anak kecil, golongan muda, para pelajar, ulama, serta veteran perjuangan.

Isyarat Jelas Kepada Dunia

Mengulas lanjut, Mohd Azmi menjelaskan bahawa kekuatan sebenar Iran yang disaksikannya tidak terletak pada aset ketenteraan semata-mata, tetapi berada dalam jiwa rakyatnya yang dipersatukan oleh keimanan dan keazaman untuk merdeka.

Beliau berpandangan, siri sekatan ekonomi dan ancaman luar yang dihadapi Iran selama puluhan tahun ini terbukti gagal melemahkan negara tersebut, malah sebaliknya membentuk perpaduan nasional yang lebih ampuh.

“Perarakan hari ini menghantar mesej yang sangat jelas kepada dunia. Seorang pemimpin boleh dibunuh, namun idea dan prinsip yang diperjuangkannya tidak akan mati,” tegas beliau sambil menyifatkan fenomena ribuan genggaman tangan ke langit di sana sebagai simbol “genggaman syahid”.

Pengajaran Buat Ummah

Melihat kepada peristiwa besar itu, Mohd Azmi turut menyeru agar umat Islam di seluruh dunia mengambil iktibar dan mengubah haluan daripada sekadar retorik perpaduan kepada kesatuan yang sebenar.

Beliau menegaskan cabaran terbesar umat Islam hari ini bukanlah kepelbagaian mazhab atau perkauman, tetapi kegagalan mengurus perbezaan tersebut untuk menjadi kekuatan bersama dalam membela golongan tertindas.

“Saya meninggalkan Tehran dengan satu keyakinan, bahawa hari ini bukan sekadar penutup perjalanan dunia seorang pemimpin. Ia mungkin menjadi permulaan kepada satu kebangkitan baharu umat Islam,” ujar beliau.

Related Articles

Back to top button