
Sektor teknologi Malaysia terus mencatat prestasi kukuh pada 2025, dipacu oleh kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI) dan ledakan pelaburan pusat data, ketika persaingan strategik antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin sengit.
Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur teknologi multinasional, dengan Pulau Pinang dan Johor menonjol sebagai hab teknologi utama. Pulau Pinang, dikenali sebagai “Lembah Silikon Malaysia”, menarik minat pengeluar semikonduktor dan elektronik bernilai tinggi berkat rantaian bekalan mantap serta tenaga kerja berkemahiran tinggi. Johor pula berkembang pesat sebagai kluster pusat data, menyokong infrastruktur digital Singapura dan menarik pelaburan berbilion ringgit dalam AI, awan dan infrastruktur berskala besar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa insentif cukai serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diberikan kerajaan telah mempercepat pembangunan bakat tempatan dan kerjasama industri, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi serantau.
Dalam separuh pertama 2025, pelaburan dalam sektor AI mencapai RM13.29 bilion, manakala sektor pusat data dan awan menyumbang RM30.95 bilion kepada jumlah pelaburan digital. Secara keseluruhan, pelaburan diluluskan bernilai RM190.3 bilion, meningkat 18.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan 46.4 peratus selaras dengan sektor keutamaan Aspirasi Pelaburan Negara termasuk teknologi maju, pendigitalan dan pertumbuhan hijau.
Sejumlah 143 projek pusat data diluluskan antara 2021 hingga 30 Jun 2025, termasuk 25 projek di bawah insentif Digital Ecosystem Acceleration Scheme (DESAC) bernilai RM144.4 bilion, mewujudkan 1,429 peluang pekerjaan baharu. Syarikat global termasuk Microsoft, Google dan Amazon Web Services turut membuat pelaburan besar, manakala YTL Power International dan Nvidia Corporation memeterai perjanjian pembangunan infrastruktur AI bernilai US$2.36 bilion di Johor.
Johor dijangka menjadi hab pusat data utama di Asia Tenggara, dengan kapasiti menyumbang 60 peratus daripada kapasiti nasional menjelang 2030. Pertumbuhan ini dijangka memberi manfaat besar kepada ekonomi negara melalui eksport perkhidmatan teknologi yang meningkat.
Selain itu, Malaysia memacu sektor teknologi serantau melalui kepengerusian ASEAN 2025, termasuk Sidang Kemuncak Kerjasama dan Pembangunan Teknologi ASEAN serta Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN, dengan fokus kepada AI, keselamatan siber dan rangka kerja ekonomi digital. Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS turut membuka peluang eksport barangan elektrik dan elektronik tanpa duti ke AS, meningkatkan lagi kedudukan negara sebagai rakan rantaian bekalan dipercayai.
Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan RM1.36 bilion untuk Kementerian Digital, termasuk RM1.11 bilion untuk projek pembangunan, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia hab AI serantau yang berdaya saing dan berimpak tinggi. Penganalisis menjangka prospek sektor teknologi Malaysia kekal optimistik dengan inisiatif kerajaan yang dijangka merangsang industri lebih lanjut.
Sumber: Bernama






