
Bangladesh berharap Malaysia terus memberi sokongan dalam usaha pembangunan semula negara itu, yang kini berada di landasan pemulihan selepas kebangkitan pelajar tahun lalu.
Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, berkata sokongan Malaysia amat diperlukan, khususnya menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada Februari depan.
“Kami telah memulihkan ketenteraman, menstabilkan ekonomi dan menghidupkan semula institusi negara. Kini kami memerlukan sokongan rakan seperti Malaysia untuk meneruskan proses ini,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini semalam.
Yunus turut menghargai peranan Anwar sebagai pemimpin asing pertama melawat Bangladesh ketika beliau memegang jawatan tahun lalu, menyifatkan kunjungan itu sebagai dorongan moral yang besar.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua negara bersepakat mengukuhkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala, termasuk menggalakkan pelaburan Malaysia di Bangladesh.
Bangladesh juga memohon bantuan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam menangani isu pelarian Rohingya.
Pada 2024, perdagangan Malaysia–Bangladesh meningkat 5.1 peratus kepada RM13.35 bilion, menjadikan Bangladesh rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan. Hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin sejak 1972.
Sumber – Bernama