
Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang dianggotai China, India, Rusia, Iran dan beberapa negara lain mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk kematian orang awam serta krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
Dalam sidang kemuncak dua hari yang berlangsung di Tianjin, utara China, SCO menegaskan kebimbangan mendalam terhadap konflik Israel-Palestin yang semakin meruncing, dan menyeru gencatan senjata menyeluruh, berkekalan serta bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke wilayah berkenaan.
Selain isu Gaza, SCO turut mengecam serangan tentera Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada Jun lalu yang disifatkan sebagai pencerobohan melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sidang kemuncak yang dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping, turut menerima pakai 24 dokumen kerjasama melibatkan keselamatan, ekonomi dan pertukaran budaya. Pemimpin SCO juga meluluskan Strategi Pembangunan 10 Tahun (2025–2035) bagi memperkukuh kestabilan, pembangunan dan kemakmuran di rantau yang dinaungi organisasi itu.
Xi turut menganjurkan mesyuarat “SCO Plus” yang menghimpunkan hampir 20 ketua negara, kerajaan serta pemimpin organisasi antarabangsa, menjadikannya perhimpunan terbesar SCO sejak ditubuhkan pada 2001.
SCO kini merangkumi 10 negara anggota, dua pemerhati dan 14 rakan dialog dengan liputan 24 peratus kawasan tanah dunia dan 42 peratus populasi global. Negara anggota menyumbang kira-kira satu perempat daripada KDNK dunia.
Pada 2024, perdagangan China dengan anggota, pemerhati dan rakan dialog SCO mencapai rekod USD 890 bilion (14.4% daripada jumlah perdagangan asing China).
Dalam sidang Tianjin kali ini, SCO juga bersetuju menyatukan status “pemerhati” dan “rakan dialog” kepada kategori baharu yang dinamakan “Rakan Kongsi SCO”, dengan Laos menjadi negara pertama diterima masuk di bawah status tersebut.
Sumber: TRT Global, AA, AFP







