BanjirSemasa

‘Syukur Allah masih lindungi saya’

Mangsa banjir Terengganu bersyukur sempat selamatkan diri

KUALA DUNGUN : “Mekno terkejut tengok luar rumah penuh air, deras sangat. Jiran semua jerit minta Mekno keluar. Tapi Mekno tak larat, Mekno tawakal sahaja pada Allah.”

Mekno binti Ali, 78 tahun sebak setiap kali  mengenangkan peristiwa hitam yang melanda perkampungannya di Kampung Jongok Batu, Kuala Dungun, Terengganu.

Keadaan teratak penduduk Kampung Jongok Batu yang dibanjiri lumpur tembal

Setelah 20 tahun mendiami teratak kayu itu, ini pengalaman pertama baginya berdepan dengan bah yang teruk sehingga gegaran kuat dirasakan ketika deruan air mengalir.

“Masa banjir jadi, Mek takut. Rumah Mek gegar kuat.

“Air laju sangat naik sampai Mek tak sempat nak simpan apa-apa  barang. Tapi Mek syukur Allah masih lindungi Mek dan anak” kata Mek.

Mekno menetap bersama satu-satunya cahaya mata istimewanya berusia 29 tahun yang merupakan pesakit ‘down sindrom’.

Mekno juga tidaklah begitu sihat, tahun ini genap tiga tahun beliau menghidap penyakit darah tinggi.

Difahamkan, sudah empat hari sejak berlakunya banjir, Mekno tidak makan ubat-ubatan dek kerana dihanyut air bah yang deras.

“Habis barang rumah, ubat dan makanan hanyut. Mek tawakal, doa banyak-banyak pada Allah.” luah Mekno ketika ditemu bual.

Biarpun sudah empat hari sejak berlakunya banjir, kesejukan dan kabus tebal masih dapat dirasa.

Kampung Jongok Batu dilihat seolah seperti kawah kerana gunung-ganang mengelilingi perkampungan  tersebut.

Tebal lumpur dan bekas paras air masih kelihatan sungguhpun kebanyakan rumah penduduk kampung sudah dicuci bersih.

Kehadiran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama MAPIM Rangers sedikit sebanyak memberi sinar kehidupan buat penduduk di sana.

Dengan barangan bantuan juga kerja pembersihan rumah yang dilakukan, dapatlah memberi senyuman yang mampu mengubat keperitan mereka.

“Terima kasih sebab sudi ziarah Mek. Mek bersyukur sangat sebab ada lagi orang ingat kat Mek. Semoga Allah sahaja  yang mampu balas jasa kalian.” ujar Mekno.


MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu sahabat peduli Ummah untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang sedang diuji dengan bencana banjir.
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

Related Articles

Back to top button