Qatar mengecam keputusan kerajaan Israel yang meluluskan penghalalan 19 penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta pencabulan hak rakyat Palestin. Kecaman itu dibuat susulan keputusan Kabinet Keselamatan Israel pada 11 Disember lalu yang meluluskan rancangan berkenaan atas cadangan Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich.
Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, Kementerian Luar Qatar menegaskan bahawa langkah tersebut bercanggah dengan resolusi antarabangsa dan menjejaskan hak sah rakyat Palestin. Qatar turut mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Kenyataan itu turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya memikul tanggungjawab perundangan dan moral untuk memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan dasar peluasan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki. Menurut kumpulan hak asasi Israel Peace Now, kira-kira 500,000 peneroka Israel kini tinggal di penempatan haram di seluruh Tebing Barat, manakala sekitar 250,000 lagi menetap di penempatan yang dibina di Baitulmaqdis Timur.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa semua penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa peluasan berterusan penempatan tersebut terus menjejaskan prospek penyelesaian dua negara. Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa turut mengeluarkan pendapat penting yang mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sebagai haram serta menyeru pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Sumber: Agensi Anadolu







