PalestinSemasa

Malam Himpunan Dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza Di Dataran Merdeka Ahad Depan

“Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza” akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 24 Ogos ini sebagai acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.

Karnival selama tiga hari bermula 22 Ogos itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia, dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta MyAqsaDefender.

Menurut jurucakap sekretariat penganjur, acara pada malam Ahad depan akan bermula seawal 5 petang dengan ketibaan Konvoi Sumud Nusantara, diikuti pidato umum tokoh serta aktivis Gaza, solat Maghrib berjemaah dan solat hajat perdana yang akan dipimpin Sheikh Abdul Karim Omar Al-Fatani Al-Makki.

“Program turut menampilkan ‘Tausiyah Peduli Ummah’ oleh Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sebelum diteruskan dengan majlis selawat dan qasidah oleh kumpulan Az Zahir,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir untuk menyampaikan syarahan khas pada malam tersebut.

Acara kemuncak turut menyaksikan pelepasan simbolik delegasi Sumud Nusantara menuju Flotilla Gaza serta bacaan Doa Qunut Nazilah sebelum majlis berakhir pada tengah malam.

Sumud Nusantara adalah inisiatif Gabungan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghimpunkan lebih 70 kapal dari 39 negara termasuk Sepanyol dan Tunisia, bagi membawa bantuan kemanusiaan dan mendesak pengakhiran sekatan Israel ke atas Gaza melalui laluan laut.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga Penasihat Sumud Flotilla berkata, misi berkenaan bakal disertai NGO antarabangsa dari Asia Barat, Eropah, ASEAN dan Amerika Latin dalam usaha menyampaikan mesej solidariti global.

“Penglibatan kerajaan amat penting bagi memastikan kelancaran misi ini serta menyampaikan mesej kemanusiaan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Rakyat Gaza bukan untuk dihalau. Solidariti umat Islam mesti bangkit. Bantuan kemanusiaan mesti sampai. Dunia tidak boleh terus membiarkan penindasan Israel berlaku,” katanya.

Beliau yang dikenali sebagai Cikgu Azmi turut mengajak orang ramai hadir dengan membawa tikar, sejadah dan payung sendiri, selain digalakkan memakai pakaian putih sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Related Articles

Back to top button