
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa seluruh rakyat Malaysia agar menghentikan sebarang bentuk sikap perkauman yang melampau serta politik kebencian, sebaliknya kembali mengutamakan semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya sentiasa melaksanakan dasar yang adil dan inklusif kepada semua kaum, tanpa sesekali mengabaikan kepentingan mana-mana komuniti di negara ini.
“Saya mahu semua rakyat hentikan sikap perkauman yang melampau. Kenapa kita tidak boleh berunding sebagai sahabat, sebagai adik-beradik? Kenapa kita tidak boleh berunding dan bekerjasama sebagai rakyat Malaysia? Mengapa kita perlu tunjuk begitu banyak kebencian?”
Kata beliau ketika berucap pada program “Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan” di Padang Awam Taman Pelangi Indah, malam tadi.
Dasar Kerajaan MADANI Bersifat Inklusif, Bukan Perkauman
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menolak sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu kononnya Kerajaan MADANI hanya memberi keutamaan kepada masyarakat Cina. Beliau menjelaskan bahawa setiap program dan dasar yang diperkenalkan sentiasa mengambil kira kepentingan negara secara menyeluruh.
Sebagai contoh, Anwar memperincikan mengenai bantuan kerajaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Walaupun ada pihak yang melabel bantuan itu bersifat perkauman, beliau menegaskan sektor tersebut adalah tunjang ekonomi negara dan majoriti tenaga kerjanya terdiri daripada orang Melayu.
Mengenai kedudukan masyarakat India pula, beliau mengakui masih wujud ruang penambahbaikan yang perlu dilaksanakan secara berterusan demi memperkasakan peluang serta taraf hidup komuniti berkenaan.
Pendidikan Jangan Dipolitikkan
Dalam pada itu, Anwar turut mempertahankan keputusan tegas kerajaan melanjutkan tempoh pelepasan cukai bagi Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Jelas beliau, keputusan tersebut diambil atas dasar inisiatif pendidikan berimpak tinggi demi pembangunan modal insan negara dan tidak sepatutnya dicemari dengan sentimen politik sempit atau perkauman.
“Saya bersedia ke TAR UMT walaupun ia merupakan inisiatif masyarakat Cina. Mengapa? Kerana saya menyokong usaha memperkasakan pendidikan untuk rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Perdana Menteri turut menitipkan pesanan agar isu pendidikan tidak lagi dijadikan modal politik demi mengelakkan timbulnya persepsi salah laku atau layanan berbeza terhadap mana-mana kaum di Malaysia.







